Ini hal penting..
EMPAT DARA PENIAGA SIBER
Oleh
Siti Nur Ida Mohamed Ali
Bekas Pelajar
Maktab Rendah Serangoon
WAJAH empat dara menawan. Lungsuri laman jualan dalam talian milik mereka, The Red Wagon. Gerenti anda lebih 'terpukau'.
Saya tabik semangat empat dara ini untuk memulakan perniagaan elektronik koleksi baju tersendiri yang beroperasi melalui laman diari maya ataupun blog livejournal.
Ili Diyana Roslan (Ili), Mariana Abdul Muttalib (Mab), Shyra Shazwani Kamarudin (Shy) dan Nurhana Abdul Rahim (Hana) masih bersekolah. Mereka adalah bekas pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS).
Sungguhpun begitu, mereka tidak mensia-siakan minat dan kemahiran berniaga untuk meneroka potensi pelanggan di dalam talian.
Jika anda melungsuri laman mereka, anda terpegun bukan sahaja kerana baju-baju jualan mereka yang menarik bahkan cara mereka memperagakan dan mempromosikan barangan mereka. Mereka begitu ketara bagaikan peragawati profesional.
Bagaimana mereka tergerak untuk menghasilkan bisnes ini?
Hana menjelaskan:
'Kami sudah lama merancang membuka bisnes sebegini. Akhirnya, berkat kesepakatan, kami berjaya menjadikan impian kami ini suatu kenyataan.'
Ili pula menambah, nama The Red Wagon itu tercetus kerana mereka inginkan nama yang dapat memberikan semacam satu identiti.
'Kami mahu memberikan nafas baru bagi bisnes yang digerakkan di alam maya ini,' katanya.
Shy pula mencelah:
'Kami memaparkan koleksi baju terkini yang dijual dengan harga berpatutan. Pelanggan juga diberi layanan terbaik. Jadi, usah bimbangkan khidmat kami.'
Apa yang menakjubkan tentang kaedah bisnes elektronik ini ialah ia mampu menjangkau ramai pelanggan daripada pelbagai pelosok dunia dalam sekelip mata.
Meskipun perniagaan The Red Wagon masih baru, ia berjaya menarik lebih 50 pelanggan bagi setiap jualan siri baru pakaian yang dikenalkan.
Kerana jualan begitu laris, mereka bahkan sudah berjaya menjual lapan koleksi pakaian kepada pelanggan termasuk Malaysia, Brunei dan Australia.
Laman empat gadis ini juga mudah dilungsuri. Turut disenaraikan ialah cara membeli barangan mereka. Bagi pembeli setia, terdapat khidmat utusan e-mel tentang jualan terkini yang ditawarkan.
Anda juga boleh memberikan komen tentang barangan yang ingin dibeli. Mereka cepat memberikan respons.
Dalam masa kurang sejam, pertanyaan dan tempahan anda mampu diproses. Anda hanya perlu melakukan pemindahan wang menerusi bank POSB ataupun DBS.
Segala proses penghantaran barangan kemudian dibuat melalui pos ataupun langsung ke rumah. Pembeli turut diberikan nombor akaun bagi tujuan identiti.
Ketika ditanya apakah antara kesukaran yang dihadapi, mereka menjelaskan ia lebih kepada pelanggan yang tidak menjawab e-mel ataupun panggilan mereka dan melengahkan bayaran.
Namun, mereka tetap cekal menjalankan perniagaan itu berkat dorongan keluarga dan teman-teman.
Ditanya apakah yang ingin diusahakan kelak, Mab menjawab:
'Kami mungkin ingin memasarkan baju lelaki ataupun barang kemas yang direka Hana sendiri.'
Untuk menjadi pelanggan atau penaja mereka, lungsuri laman theredwagon.livejournal.com.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke lippylove@gmail.com.
Source: http://cyberita.asia1.com.sg/rencana/sto

Nur Aslam
5N1, Bola sepak dan Track&Feild.

Zairulnisham
5N1, NPCC

Noor Jahan Begum
5N2, Bola jaring dan Symphonic Band
*gambar*
Marinah btw Abdul Rashid
5N2, Red Cross